Thursday, October 30, 2008

Pesanan kepada bakal ahli majlis perwakilan pelajar

BAHANG pilihan raya kampus mungkin masih belum terasa lagi di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), baik di kampus UIAM Gombak, apatah lagi kampus UIAM Kuantan.

Fenomena yang sama mungkin juga berlaku di kebanyakan kampus IPTA yang lain. Mahasiswa tertanya-tanya bila agaknya pilihan raya kampus akan mengambil tempatnya.
Pilihan raya kampus merupakan salah satu agenda yang penting dalam memastikan perjalanan sistem demokrasi yang adil di universiti.

Semestinya mahasiswa yang menawarkan diri untuk menjadi calon dalam pilihan raya kampus mempunyai alasan tersendiri mengapa mereka ingin bertanding.

Pelabelan calon sebagai proaspirasi ataupun promahasiswa menjadikan suasana pilihan raya kampus lebih menarik dan matang. Sama ada calon sendiri yang melabelkan diri mereka ataupun akhbar yang memanipulasi pelabelan calon ini, saya kira ini bukanlah masalah yang besar.

Apa yang penting, pimpinan mahasiswa ataupun pimpinan pelajar perlu sedar bahawa mereka dipilih untuk mewakili kepentingan mahasiswa secara umum.

Tidak kira apa pun latar belakang calon dan siapa pun yang diwakili, kepentingan umum perlu diletakkan di hadapan berbanding kepentingan peribadi. Pendekatan dan pelaksanaan yang dilakukan perlulah bersifat menyeluruh, tanpa bersifat pilih bulu.

Majlis perwakilan pelajar sebagai organisasi utama dalam menyampaikan suara mahasiswa perlu bijak dalam melaksanakan misi ini.

Kepetahan berkata-kata dan berbicara dalam menyampaikan idea dan pandangan merupakan satu kredit. Tetapi dengan hanya bersandarkan kepada kata-kata tanpa pelaksanaan, saya berpendapat pemimpin seperti ini tidak harus dihormati.

Saya menghormati perbezaan idea dan pemikiran setiap individu. Dalam berorganisasi, perbezaan idea dan pemikiran merupakan perkara lumrah. Asalkan kita boleh lapang dada dengan perbezaaan dan bekerja dengan berasaskan persamaan, pasti gerak kerja yang dirancang dapat dilaksanakan dengan efektif.

Seorang pemimpin pelajar yang baik pasti dapat menghargai perbezaan dan persamaan dalam gerak kerja yang dilakukan.

Cukuplah keikhlasan yang dijadikan tunjang dalam menjalankan amanah sebagai ahli majlis perwakilan pelajar. Sama ada terdapat campur tangan daripada pihak luar dalam menentukan kepimpinan pelajar, saya serahkan kepada seluruh mahasiswa untuk memikirkannya dengan bijak dan rasional. Kualiti diri seorang pemimpin mengatasi segala-galanya.


BEKAS AHLI MPP UIAM
Kuantan

Wednesday, March 19, 2008

qudwatuna...

Pemergianmu

Kau masih tersenyum mengubat lara,
Selindung derita yang kau rasa,
Senyuman yang mententeramkan,
Setiap insan yang kebimbangan,

Hakikatnya tak tertanggung lagi derita,
Dipangkuan isterimu Humaira,
Menunggu saat ketikanya,
Diangkat rohmu bertemu yang Esa,

Tangan dicelup di bejana air,
Kau sapu dimuka mengurangkan pedih,
Beralun zikir menutur kasih,
Pada ummat dan akhirat,

Dan tibalah waktu ajal bertamu,
Penuh ketenangan jiwamu berlalu,
Linangan air mata syahdu,
Iringi pemergianmu,

Oh sukarnya untuk umat menerima,
Bahkan payah untuk Umar mempercaya,
Tetapi Iman merelakan jua,
Bahawa manusia kan mati akhirnya,

Tak terlafaz kata mengungkap hiba,
Gerhanalah seluruh semesta,
Walaupun kau telah tiada,
Bersemarak cintamu selamanya,

Ya Rasulullah, kau tinggalkan kami warisan yang abadi,
Dan bersaksilah sesungguhnya kami merinduimu


“Ya Rasulullah, sungguh engkau lebih kucintai daripada diriku, dan anakku,” kata seorang sahabat suatu hari kepada Rasulullah Muhammad saw. “Apabila aku berada di rumah, lalu kemudian teringat kepadamu, maka aku tak akan tahan meredam rasa rinduku sampai aku datang dan memandang wajahmu. Tapi apabila aku teringat pada mati, aku merasa sangat sedih, karena aku tahu bahwa engkau pasti akan masuk ke dalam surga dan berkumpul bersama nabi-nabi yang lain. Sementara aku apabila ditakdirkan masuk ke dalam surga, aku khawatir tak akan bisa lagi melihat wajahmu, karena derajatku jauh lebih rendah dari derajatmu.”

mesti lawat - www.cintarasulullah.wordpress.com

Sunday, December 23, 2007

a step forward in my life

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga baginda dan para sahabat baginda...

Salam aidiladha buat semua sahabat...Pada masa ini, ketika semua orang sibuk membincangkan tentang perpaduan antara kaum di Malaysia, gimmick sms ucapan aidiladha memang mampu membuatkan saya terkejut seketika. Saya baru saja pulang daripada menghadiri kursus BTN pada minggu lepas. Isu perpaduan antara kaum merupakan isu yang banyak dibincangkan dalam slot LDK. Kepada semua orang Melayu, siap sedia dengan parang, kapak dan pisau dari sekarang. Peristiwa berdarah akan berlaku 20hb. Sebabnya...kita akan meraikan ibadat korban. Siapalah yang begitu kreatif memikirkan idea seperti ini. Pandai memanipulasi keadaan semasa.Bayangkanlah siangnya saya baru saja berdiskusi tentang peristiwa 13 Mei 1969 dalam slot LDK, apa persediaan yang dapat dilakukan jika peristiwa itu berulang dan lain-lain lagi, dan malamnya pula saya menerima sms gimmick aidiladha. Terima kasih kepada sesiapa yang menghantar pelbagai versi sms gimmick kepada saya. Memang kreatif (“,)

Seronok juga sebenarnya dapar bersama-sama sahabat yang lain menghadiri kursus BTN. Walaupun pada mulanya saya memang tidak berminat langsung untuk mengikuti kursus ini, tetapi akhirnya saya yang bersemangat untuk pergi. Terasa agak lapang hati apabila classmate saya, Hafizi, akhirnya turut sama-sama pergi. Sekurang-kurangnya tidaklah berasa berat hati kerana meninggalkan praktikal selama dua hari, walaupun supervisor clinical saya memberi kebenaran untuk pergi. Apapun, saya telah menggantikan satu hari yang saya tidak dapat datang. Tinggal hutang sehari lagi.

Antara objektif kurusus ini ialah untuk meningkatkan semangat patriotik dan cintakan negara di kalangan peserta. Terasa kesan serbuk pencuci dan cecair peluntur akibat dibasuh dan diclorox. Cuma tak terasa ditembak dari jarak dekat. Saya memang cintakan negara Malaysia yang merdeka ini. Matlamat kerajaan untuk melahirkan modal insan kelas pertama yang cemerlang, gemilang dan terbilang memang bagus. Pembinaan modal insan yang berjaya ialah yang berteraskan tarbiyyah Islamiah serta bersumberkan Al-Quran dan sunnah Rasulullah serta sirah para sahabat Konsep tarbiyyah yang dibawa oleh para nabi dan rasul, dan disambung oleh para sahabat, tabi’in dan orang-orang soleh ini mampu untuk mengangkasa minda mahasiswa pada hari ini ke mercu kelas dunia. Semoga kelahiran modal insan yang berminda kelasa pertama mampu memartabatkan agama Islam yang kita cintai ini dengan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Agak menariknya, kami peserta kursus dari UIA dibahagikan kepada 3 tempat kursus, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak. Hanya UIA sahaja, dan peserta dari IPTA lain tidak dibahagikan dan ditempatkan di kem yang sama. Bila saya bertanyakan hal ini kepada fasilitator kumpulan saya, ini semua hanyalah satu kebetulan, katanya. Satu kelebihan buat peserta UIA kerana berpeluang untuk meluaskan network dan merapatkan silaturrahim dengan sahabat MPP yang lain serta bertukar-tukar idea dalam ruang lingkup yang lebih besar. Terima kasih KPT.

Banyak perkara yang saya dapat daripada kursus ini. Perkara yang utama buat diri saya ialah pentingnya kekuatan fizikal. Tarbiyyah jasadiyyah yang tidak mendapat tempat utama dalam jadual seharian saya, dan diri saya yang jahil dalam ilmu mempertahankan diri. Saranan kementerian kesihatan, bersenam 3 kali seminggu, 20 minit untuk sekali seisi senaman. Inilah percaturan yang ideal untuk tubuh yang sihat. Menurut Prof. Dr. Mohaya dalam seminar wanita solehah di IIUM Kuantan pada awal tahun yang lalu, terlalu banyak bersenam (contohnya tiap-tiap hari) bukanlah idea yang efektif dalam kehidupan pelajar yang aktif. Waktu petang selepas asar , selain bersenam, boleh digunakan untuk membuat meeting dan aktiviti-aktiviti persatuan. Jadi, tidaklah terganggu waktu puncak untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran pada malam hari.

Mengapa kekuatan fizikal ini penting?Semestinya kerana akal yang sejahtera itu terletak pada tubuh badan yang sihat. Andai ditakdirkan berlaku rusuhan ataupun peperangan (na’uzubillahi min zalik, andaikata), apa yang kita ada untuk mempertahankan diri sekurang-kurangnya? Jika tidak dapat mempertahankan diri sekalipun, sejauh mana mantapnya stamina untuk lari menyelamatkan diri? Jika tidak benar-benar fit, pancit juga. Dalam keadaan ini, fight and flight situation, walaupun nerve impulse akan stimulate adrenal gland untuk untuk merembeskan adrenaline, yang akhirnya akan meningkatkan tenaga untuk menolong badan dalam melawan keadaan yang tertekan (fight for the stressful situation), jika stamina yang kita ada tidak begitu mantap hasil daripada kurangnya latihan kecergasan, memang kita tidak akan dapat pergi jauh. Jika dapat mempertahankan diri sekurang-kurangnya, tidaklah dengan mudahnya ditendang oleh orang yang mempunyai tali pinggang hitam dalam peperangan, contohnya.

Satu lagi aspek perbincangan yang saya rasa penting. Bagaimana untuk mngatur kerjaya masa hadapan. Bidang perniagaan merupakan bidang yang harus dikuasai oleh Muslim khususnya. Bagi saya, kita perlu jadi kaya untuk menolong umat Islam yang memerlukan, umat Islam yang kekurangan, anak-anak yatim yang hidup dalam kemiskinan. Saya kagum dengan usaha seorang pensyarah saya yang membantu anak-anak orang Melayu yang kesempitan wang untuk meneruskan pelajaran hingga berjaya. Pensyarah saya ini mempunyai ramai anak angkat untuk dibantu dari segi kewangan. Beliau menjalankan aktiviti perniagaan, selain daripada menjadi seorang pensyarah. dalam usaha membantu anak-anak ini. Lihatlah, 9/10 daripada rezeki itu datangnya daripada perniagaan. Perniagaan yang menguntungkan, antaranya ialah sector hartanah. Seorang rakan sekelas saya ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan selepas tamat pengajian untuk mengumpulkan wang, dan bercadang untuk menyertai MERCY secara sukarela untuk membantu dengan menggunakan wang hasil simpanannya. Sahabat baik saya, juga sekelas dengan saya, bercita-cita untuk membuka tadika Islam supaya dapat memberikan didikan dan tarbiyyah kepada kanak-kanak sejak dari kecil lagi. Inilah sebenarnya yang harus dilahirkan, business minded person.

Apabila terlibat dengan perniagaan, sudah pasti keuntungan yang menjadi sasaran utama. Konteks keuntungan sebenarnya bukanlah ukuran sebanyak mana hasil yang diperolehi daripada perniagaan itu semata-mata, malah ia juga diukur melalui sebanyak mana orang lain mendapat keuntungan dengan perniagaan yang dijalankan.. Satu contoh yang paling dekat dengan saya sebagai seorang perempuan ialah tudung. Memang banyak kain tudung yang dijual di pasaran sekarang, pelbagai jenis, corak dan fesyen. Apa yang saya rasa tidak patut ialah keadaan tudung yang dijual. Terlalu nipis, tidak menutup aurat walaupun memakai\tudung sehinggakan menampakkan bayang-bayang leher. Tudung yang besar pun sekarang ni banyak yang nipis. Alhamdulillah, sahabat-sahabat saya mengambil inisiatif dengan memakai kain tudung kecil yang lain di dalam sebagai pelindung kepada kain tudung yang nipis itu. Jika penghasilan kain tudung itu memang bermotifkan untuk menutup aurat, elemen-elemen ini harus diambil kira supaya tidaklah wanita Islam memakai tudung tetapi tidak menutup aurat, ataupun terpaksa membeli kain tudung tambahan untuk menutup aurat. Tidaklah ianya bermotifkan keuntungan semata-mata.

Insya Allah, semoga hari ini lebih baik daripada semalam, dan hari esok pastinya lebih baik daripada hari ini. Semakin hari bertambah, semakin banyak benda baru yang saya belajar dalam suatu kembara perjalanan di dunia yang dinamakan kehidupan. Perjalanan ini akan tiba ke penghujungnya suatu hari nanti... untuk menuju kehidupan lain yang kekal. Allah lebih mengetahui bila masanya...

”Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Rabbmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya.¨ (QS. 89:27-28)

Friday, December 07, 2007

tanda kasih sayang Allah

Rasanya masih tidak terlambat lagi untuk saya ucapkan selamat pulang ke bumi IIUM Kuantan kepada sahabat-sahabat, walaupun sudah hampir seminggu semester baru berlalu. Selamat meneruskan perjuangan, selamat menuntut ilmu, selamat bekerja, selamat bermujahadah dan semoga segala-galanya selamat dan diberkati Allah. Buat sahabat saya, Sumayyah dan juga senior saya, Zulfadhli, selamat menempuh alam baru dengan tanggungjawab yang baru.

Masa lalu ialah sesuatu yang amat jauh dengan kita. Inilah isi tazkirah di kelas pada hari ini yang amat memberi kesan. Masa yang telah berlalu sangat jauh dengan kita, sangat jauh untuk dikejar dan semestinya tidak mungkin dicapai. Semester satu yang lepas, walaupun baru sahaja berlalu, tetapi tetap jauh untuk dicapai semula. Apa yang tinggal ialah untuk menilai semula segala kelebihan dan kekurangan yang lalu supaya kita dapat menghargai masa yang ada sekarang dan juga masa yang akan datang. Saya berani katakan inilah semester yang benar-benar menguji saya, the worst ever in my life. Jatuhnya semangat saya seumpama runtuhnya WTC, terus ranap ke bumi dalam masa yang singkat. Sahabat saya pula mengumpamakan kejatuhannya seperti lepernya seekor cicak yang dilanggar oleh bulldozer, jatuh dan terus rebah. Inilah yang dinamakan ujian, menunjukkan Allah sayangkan hambaNya.

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ (2) وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ (3

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan “Kami telah beriman” dan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar pasti mengetahui orang-orang yang dusta.

Kejatuhan ini perlu dinilai dari sudut yang positif. Kejayaan dicipta oleh orang biasa yang berusaha secara luar biasa. Dalam kes tertentu, kejayaan dicipta oleh orang luar biasa yang berusaha secara biasa. Penyumbang terbesar kepada sebuah kejayaan ialah sikap, di samping faktor-faktor lain yang membantu. Seorang yang berjalan kaki tidak boleh bersiap untuk ke kelas sama waktu dengan orang yang menaiki kereta ataupun motor. Jika dilakukan juga, hamba Allah yang berjalan kaki ini mungkin akan lambat sampai ke kelas daripada waktunya, dan individu yang berkenderaan mungkin akan sampai ke kelas lebih awal atau tepat pada waktunya. Jadi, si pejalan kaki tidak boleh menggunakan alasannya yang tidak mempunyai kenderaan sebagai sebab mengapa dia lambat. Penyebab utama ialah sikapnya, tanpa menyedari keadaan dirinya. Jadi, apa yang perlu saya buat ialah betulkan sikap …tingkatkan mujahadah, tambahkan focus, giatkan usaha dan apa-apa tindakan yang perlu untuk menghancurkan segala sikap-sikap yang negative.

Jika seorang penuntut itu mempunyai minat yang sangat mendalam dalam aktiviti sukan, tidak salah untuk dia bergiat aktif dalam sukan, asalkan tidak mengurangi kesungguhan dan fokusnya dalam pelajaran. Jika seseorang itu aktif dalam persatuan, tidak salah untuk terlibat, asalkan saja tumpuan untuk pelajaran tidak terjejas. Seseorang yang aktif dalam kerja-kerja dakwah pun begitu juga. Bekerjalah untuk Islam dengan bersungguh-sungguh, dan dalam masa yang sama belajarlah bersungguh-sungguh juga. Ketempangan berlaku jika salah satu elemen diabaikan. Jika prestasi pelajaran menurun, perasatuan, society dan sebagainya bukanlah penyumbang utama. Punca utamanya ialah diri sendiri yang tidak bersungguh-sungguh. Jadi saya tidak bersetuju jika dikaitkan penurunan prestasi ini dengan aktiviti-aktiviti lain.
Dan untuk itu, study tidak boleh menjadi alasan utama untuk menolak sesuatu tanggungjawab. Saya faham sahabat-sahabat turut mengalami nasib yang sama seperti saya. Saya kembalikan semula ayat yang telah diberikan oleh sahabat kepada saya :


“Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasulnya serta orang-orang mu’min akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan"

Jadi, apapun yang berlaku, teruskan bekerja, Insya Allah, Allah sentiasa bersama kita. Dan saya pulangkan juga kata-kata ini kepada sahabat-sahabt saya, yang juga telah diberikan oleh seorang sahabat. Kadang-kadang kita diberi sesuatu tanggungjawab itu bukanlah kerana kita layak, tetapi kerana Allah hendak beri sesuatu kepada kita. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada sahabat-sahabat saya untuk terus maju dan cemerlang. Pejuang Islam tak akan pernah berputus asa. Umat Islam mesti cemerlang.

Buat si cicak yang leper milik seorang sahabat, semoga cicak itu akan terus berusaha untuk meneruskan perjuangan hidupnya. Sekali cicak dilanggar, sepuluh kali semangat cicak membara untuk terus hidup dengan lebih cemerlang, dan seterusnya menolong kawan-kawannya supaya tidak dilanggar oleh bulldozer yang sama. Chaiyok2 semua…

Thursday, August 30, 2007

salam kemerdekaan

Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Merdeka ! Merdeka !Tetaplah merdeka
Ia pasti menjadi sejarah
Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Hari yang muliaHari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka
Mari kita seluruh warga negara
Ramai-ramai menyambut hari merdeka
Merdeka !
Tiga satu bulan lapan lima puluh tujuh
Hari mulia negaraku merdeka


31 haribulan Ogos…hari yang pasti diingati oleh setiap warganegara Malaysia yang cintakan negaranya, hari yang mana negara kita Malaysia bebas daripada cengkaman penjajah British. Merdeka, merdeka tetaplah merdeka, ia pasti menjadi sejarah…Sudah pasti tarikh 31 Ogos akan sentiasa menjadi agenda utama dalam lipatan sejarah Malaysia.

Persoalannya, bagaimana menyambut hari bersejerah negara dengan jiwa yang merdeka? Adakah anak-anak muda yang dilahirkan selepas zaman merdeka faham dan benar-benar menghayati makna kemerdekaan? Bagi generasi yang pernah hidup dalam zaman sebelum kemerdekaan, pengalaman dan perjuangan menentang penjajah menjadikan detik kemerdekaan 31 Ogos itu sesuatu yang sangat berharga, kerana mereka mengerti betapa susahnya untuk mendapatkan kemerdekaan.

Tetapi bagi generasi baru yang lahir selepas zaman merdeka, khususnya generasi muda hari ini, bagaimanakah kita mentafsirkan makna kemerdekaan? Temasya menyambut kemerdekaan yang dipenuhi dengan acara hiburan seolah-olah sudah menjadi tradisi masyarakat kita sejak bertahun-tahun lamanya. Adakah dengan mewarisi sambutan kemerdekaan itu dapat menunjukkan semangat patriotik dan cintakan negara?Adakah dengan sorakan dan laungan ‘merdeka’ ataupun nyanyian lagu-lagu patriotik, ataupun kibaran bendera Malaysia pada kenderaan dan bangunan-bangunan itu sudah cukup menandakan bahawa kita telah benar-benar merdeka?

Semasa menaiki bas untuk pulang ke Kluang dari Kuantan, saya sempat mendengar pendapat beberapa orang pendengar sebuah stesen radio tentang makna kemerdekaan daripada perspektif mereka. Ramai yang faham bahawa kemerdekaan itu ialah bebasnya kita daripada dijajah oleh pihak British dan ukuran pengisisan kemerdekaan itu dinilai daripada aspek pembangunan dan kemajuan infrastruktur serta kemewahan yang kita kecapi pada hari ini.

Apakah maksud kemerdekaan yang sebenarnya daripada kaca mata Islam? Ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum, seorang sahabat Rasulullah bernama Rub'i bin A'mir telah mengungkapkan kata-kat berikut :
Maksudnya: Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami keluarkan (merdekakan) manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

Kemerdekaan yang hakiki ialah apabila kita mampu kembali kepada diri kita sendiri iaitu apabila kita mampu mengungkapkan acuan Islam ke dalam segenap lapangan kehidupan masyarakat, sama ada dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan ataupun sosial. Merdeka bagi seorang Muslim bukanlah sekadar bebas di dunia, tetapi maksud kemerdekaan yang sebenar- benarnya hanyalah apabila seorang Muslim berjaya melepasi titian “siratul mustaqim” untuk beriringan langkah memasuki syurga Ilahi.

Kita telah bebas daripada cengkaman penjajah, tetapi dari sudut identiti dan jati diri Muslim, adakah kita telah benar-benar bebas tanpa dipengaruhi ideologi, fahaman, pengaruh dan budaya luar? Masyarakat pada hari ini mengukur pembangunan menurut perspektif barat yang mana pembangunan dan kemajuan sesebuah negara dapat dicapai berdasarkan kemampuan negara untuk menyediakan infrastruktur, prasarana dan bangunan-bangunan yang mantap, canggih, maju dan terkini, tanpa memberikan tumpuan yang serius kepada kepentingan pembangunan insan daripada sudut pemikiran dan akhlak. Hasilnya seperti yang kita lihat pada hari ini, masalah sosial yang semakin meruncing dan keruntuhan akhlak yang semakin melampau. Masyarakat kita pada hari ini mengalami kecederaan yang amat parah, masyarakat kita sebenarnya sakit, masyarakat kita tidak sihat sepenuhnya.Adakah ini yang kita mahukan daripada sebuah kemerdekaan? Jika pengisisan kemerdekaan tidak dihayati sepenuhnya, penyakit masyarakat akan menjadi semakin kronik dan menjadi barah yang mungkin mampu membunuh.

Elemen pembangunan insan berkait rapat dengan pembangunan negara. Dalam majlis konvokesyen ketiga Kolej Islam Darul Ridzuan, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah bahawa pembangunan insan akan lebih sempurna jika sentuhan keinsanan turut terbina di samping berkeupayaan untuk menguasai ilmu teknologi. Teknologi adalah alat, bukan matlamat. Titah baginda, asas falsafah pendidikan yang murni perlu untuk membina sahsiah, minda dan roh insan yang tidak harus diketepikan malah perlu ditekankan. Titah baginda lagi, oleh kerana manusia adalah objek utama dalam proses pendidikan, dimensi Islam berlandaskan ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasul perlu untuk untuk memperlengkapkan proses mendidik, melatih akal, jasmani dan roh manusia untuk membina insan yang bertakwa. Seperti mana yang dilabelkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, maka syariat Islam perlu dan wajib untuk ditegakkan dalam usaha menjamin kemajuan yang seimbang dari sudut pembangunan fizikal dan pembangunan rohani.

Saya amat bangga menjadi warganegara Malaysia. Seperti mana gahnya bendera Malaysia yang dilekatkan di kenderaan berkibar di jalanan semasa angin kuat bertiup dalam hujan yang lebat, begitulah rasa bangga dan megahnya saya terhadap negara Malaysia ini. Semoga negara yang saya cintai ini akan terus membangun mengikut acuan Islam seperti mana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah dalam membina negara Islam pertama Madinah. Dengan tema hari kemerdekaan ke-50 “Malaysiaku Gemilang”, saya berharap semoga negara ini akan terus gemilang, cemerlang dan terbilang dalam semua aspek kehidupan, di bawah pimpinan pemimpin yang beriman, bersama-sama dengan rakyat yang menyokongnya, di dalam rahmat dan keredhaan Allah s.w.t, Insya ALLAH.Selamat hari merdeka, di mana bumi dipijak, di situ PASTI Islam ditegak.

Tuesday, July 24, 2007

Konsep menutup aurah mengikut fizik



"Dalam Fizik, konsep ketahanan mental, emosi dan spiritual ditekankan dalam bab haba pendam tentu dan berhubungkait dengan penjagaan aurat. Jika dikaji tentang formula yang digunakan:
J = mc x tetha


J ialah haba pendam tentu: Kuantiti haba yang boleh diserap oleh suatu objek yang mempunyai jisim tertentu dalam suatu kuantiti masa.

m ialah jisim objek yang menerima perubahan suhu.

c ialah keupayaan haba tentu: Keupayaan suatu objek yang mempunyai jisim tertentu menerima suatu kuantiti suhu dalam suatu kuantiti masa.

tetha ialah perubahan suhu.

Eksperimen 1: Haba Pendam Tentu (Fizik Tingkatan 4- BAB 2.3)

Abstrak/Pengenalan
Dalam kajian ini, "eksperimen" dilakukan ke atas 3 jenis wanita:
wanita A- wanita bertudung labuh dan menjaga lengan daripada terdedah, wanita B-wanita memakai pakaian biasa tetapi masih menutup aurat dan wanita C- wanita yang lebih selesa memaparkan rambut yang lurus setelah melalui teknik rebonding, menunjukkan keputihan dan kehalusan kulit lengan, mendedahkan kerampingan bentuk badan dan berhias laksana model-model muka hadapan majalah hiburan.

Tujuan
Mengkaji tahap ketahanan spiritual, mental dan emosi wanita terhadap tekanan yang diberi berdasarkan cara pemakaian.

Hipotesis
Semakin baik cara pemakaian yang diamalkan mengikut tatacara yang disyorkan dalam Islam, semakin tinggi tahap ketahanan mental, emosi dan spiritual atas tekanan yang diberi. Begitu juga sebaliknya.

Inferens
Wanita A mempunyai tahap ketahanan yang tinggi, wanita B mempunyai tahap ketahanan yang sederhana dan wanita C mempunyai tahap ketahanan yang lemah.

Pembolehubah manipulasi
c atau keupayaan suatu objek yang mempunyai jisim tertentu menerima suatu kuantiti suhu dalam suatu kuantiti masa mempunyai hubungan dengan ketahanan seseorang terhadap tekanan yang dikenakan. Bercakap tentang konsep aurat, ia mempunyai kaitan dengan suhu. Ramai yang membuka aurat atas alasan panas dan lebih suka bebas dari suatu kongkongan. Seorang pensyarah wanita di UIA dari New Zealand (bukan Islam) mempersoalkan istilah baju kurung. Adakah istilah baju kurung tercipta kerana sifatnya "mengurung" wanita di Malaysia? Sehinggakan ramai wanita sekitar KL dan Selangor lebih suka memakai jeans dan t-shirt?

Pembolehubah malar
m atau jisim objek yang menerima perubahan suhu. Anggap jisim, bentuk badan, bangsa, agama, dan ciri-ciri fizikal ketiga-tiga jenis wanita adalah sama.

Pembolehubah bergerakbalas
J atau kuantiti haba yang boleh diserap oleh suatu objek yang mempunyai jisim tertentu dalam suatu kuantiti masa. Ia berkaitan dengan setinggi mana tahap ketahanan spiritual, emosi dan mental ketiga-tiga jenis wanita terhadap daya tekanan yang diberi.

Kaedah
(1) Melalui pemerhatian kritikal terhadap perubahan personaliti ketiga-tiga jenis wanita dalam suatu jangka masa.
(2) Bertanya secara berhikmah tentang perspektif ketiga-tiga wanita terhadap cara pemakaian.
(3) Eksperimen diulang keatas wanita-wanita lain yang mempunyai ciri yang sama.
(4) Eksperimen juga dilakukan keatas 2 jenis lelaki: Lelaki A- Lelaki yang menutup aurat dengan baik dan Lelaki B- Lelaki yang suka mendedahkan pusat sewaktu berlengging dan memaparkan lutut serta paha sewaktu bersukan atau berjalan-jalan.

Pemerhatian
(1) Wanita A kelihatan humble, tenang, happy, ceria, lembut, sopan, pendiam, bercakap ketika perlu, berhati-hati dengan perhubungan dan berkemampuan mengawal perkataan yang dikeluarkan dari mulut.
(2) Wanita B juga kelihatan tenang, ceria, happy tetapi kadangkala kelihatan risau dan bimbang seperti ada sesuatu yang tak kena. Ada masanya terlepas juga kata-kata yang kurang baik ketika marah. Tapi kembali normal setelah beberapa ketika. Penulis yang berjurusan senibina pernah menegur seorang studiomate wanita yang menggunakan spray dengan cara yang salah ketika menyembur model yang dibuat sehingga menyebabkan cat yang terhasil rosak. Lalu dalam keadaan marah, penulis dikatakan penyibuk walaupun niat penulis ingin menegur kesilapan yang dibuat. Penulis terus berlalu kerana tahu tetha sedang dikenakan terhadap studiomate tersebut. Selepas kejadian tersebut, keadaan kembali normal.

(3) Wanita C kelihatan kelam-kabut, mempunyai stail tersendiri, kurang menjaga perkataan yang dilafazkan, overexcited, mudah melenting, agak sombong, materialistik dan sosial.

4) Lelaki A kelihatan normal, tetapi lelaki B agak stylo, mudah marah, ego yang terlampau tinggi, sukar menerima nasihat, memandang rendah atas kemampuan orang lain dan lebih agresif.

Kesimpulan
Dari eksperimen yang dijalankan, wanita dan lelaki yang mempunyai nilai J yang tinggi adalah mereka yang menjaga cara pemakaian dengan baik mengikut syariat Islam dan sensitif terhadap aurat. Seperti dalam formula yang diberi:

J = mc x tetha

Oleh itu, hipotesis diterima.

Mengkaji Fizik melalui perspektif Islam

Dalam usaha penyampaian Islam kepada individu yang faham tentang Islam, individu yang kurang faham tentang Islam dan individu yang tidak faham tentang Islam, pendekatan melalui ilmu duniawi berdasarkan kaedah saintifik dan empirik adalah salah satu cara yang sesuai kerana tak semua daripada mereka akan menerima jika menyampaikan melalui ilmu Tauhid. Masalah berlaku di Malaysia di mana persepsi masyarakat berubah iaitu belajar adalah untuk bekerja, bukan belajar untuk mencari ilmu."




This is a quotation article from http://alifanwar.multiply.com/
Personally, eksperiman yang dijalankan sangat kreatif dan menarik. Jika dilihat hipotesis yang dibuat, semakin baik cara pemakaian yang diamalkan mengikut tatacara yang disyorkan dalam Islam, semakin tinggi tahap ketahanan mental, emosi dan spiritual atas tekanan yang diberi. Begitu juga sebaliknya.Pada pendapat saya, jika eksperiman ini dibincangkan secara umum, mingkin pelbagai feedback yang berbeza akan diterima. Mungkin ada yang menyokong dan mungkin ada juga yang mempertahankan cara berpakaian masing-masing yang tidak relevan dengan nilai J dalam eksperiman.

Pakaian yang dipakai melambangkan peribadi orang yang memakai pakaian itu. Dan sebaik-baik pakaian ialah pakaian ketaqwaan. Garis panduan pakaian muslimah bukanlah sesuatu yang sangat rigid dan syadid. Tidak salah wanita muslimah berfesyen asalkan sahaja garis panduan pemakaian selari dengan tuntutan syari'ah.

Berdasarkan kesimpulan yang dibuat :

wanita dan lelaki yang mempunyai nilai J yang tinggi adalah mereka yang menjaga cara pemakaian dengan baik mengikut syariat Islam dan sensitif terhadap aurat. Seperti dalam formula yang diberi:

J = mc x tetha
Oleh itu, hipotesis diterima

Seharusnya difahami di sini bahawa wanita dan lelaki yang menjaga cara pemakaian dengan baik mengikut Syariat Islam dan sensitif terhadap aurat ialah mereka yang mempunyai tahap kefahaman agama yang baik dan mengamalkan nilai-nilai agama dalam kehidupan. Jika cara pemakaian itu tidak selari dengan akhlak dan tidak melambangkan nilai-nilai agama, maka sudah pasti akan berlaku fitnah dan akan memberikan impak kepada golongan yang menutup aurat untuk berdakwah kepada mereka yang kurang kefahamannya tentang agama.

Tuesday, December 19, 2006

Malaysia perlu bangunkan tenaga suria

ALLAH menjadikan bumi ini sebagai tempat berlindung sementara selagi manusia masih hidup. Manusia pula perlu mengkaji untuk menggunakan segala khazanah atau sumber yang disediakan oleh Allah untuk kemaslahatan umat.
Ini kerana semua yang dijadikan Allah di muka bumi ini mempunyai tugas dan matlamat tertentu.
Ini bertepatan dengan firman Allah: Dia menundukkan untukmu apa-apa yang di langit dan apa-apa yang ada di bumi semuanya (sebagai kurnia) daripada-Nya. Sungguh pada demikian itu beberapa ayat (keterangan) bagi kaum yang berfikir. (Al-Jaatsiyah: 13).

Bagi mengupas persoalan sumber tenaga alternatif, wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, AZLI AHAD menemu bual Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Yusof Othman.

UTUSAN MALAYSIA: Apakah kaitan penggunaan tenaga dengan hasrat Malaysia menjadi negara maju menjelang tahun 2020?

PROF. DR. YUSOF: Secara umumnya, semua orang menyedari kepentingan tenaga dalam hidup manusia. Ini kerana tidak ada objek yang boleh bergerak tanpa tenaga. Sebab itu, antara kriteria negara maju ialah ia mesti ada pergerakan yang banyak seperti pergerakan kenderaan yang banyak.
Dalam masa yang sama, untuk mencapai perkara itu kita mesti mempunyai sumber bekalan tenaga yang mencukupi. Namun, tenaga yang kita peroleh selalunya bukan dalam bentuk yang terus boleh digunakan. Manusia kena berfikir bagaimana hendak menggunakannya. Contoh, untuk mendapat bekalan tenaga daripada kayu api kita perlu membakarnya.
Apakah antara faktor yang mendorong kepada peningkatan permintaan terhadap tenaga masa kini?
Dulu, kita menggunakan otot binatang seperti lembu, gajah dan kerbau untuk mendapat tenaga dalam mengerjakan sawah bendang namun apabila semua ini diganti dengan penggunaan mesin secara meluas maka keperluan terhadap tenaga semakin bertambah.
Revolusi Industri turut membawa kepada perpindahan daripada penggunaan otot atau kudrat bagi mendapat tenaga kepada penggunaan mesin yang memerlukan bekalan elektrik. Secara mudahnya, ada korelasi antara peningkatan jumlah penduduk dengan pertambahan penggunaan tenaga.
Adalah dijangka permintaan terhadap tenaga akan terus meningkat di mana dianggarkan penduduk dunia berjumlah kira-kira 8 bilion pada tahun 2050. Apa yang menjadi kebimbangan ialah sumber tenaga di perut bumi seperti minyak dan gas ini adalah terhad. Ia tidak boleh ditanam semula atau diganti.
Dunia sudah mula merasai kesan pemanasan global akibat penggunaan tenaga yang semakin banyak. Apakah alternatif dalam hal ini?
Apabila kita menggunakan terlalu banyak tenaga, ia menyebabkan pemanasan udara seterusnya membawa kepada peningkaan suhu dunia. Malah, suhu dunia kini meningkat sebanyak
8°C. Dalam tempoh 100 tahun, paras air laut global meningkat antara 10 ke 25 sentimeter akibat pemanasan haba.
Natijahnya, kita dapati beberapa negara seperti Amsterdam di Belanda kini berada di bawah paras laut. Dunia juga mengalami 12 kali suhu yang amat panas sejak 15 tahun dalam tempoh 145 tahun lepas.
Glasier (kawasan berais) di Alaska turut cair yang mana jumlahnya menurun sebanyak 610 meter pada tahun 2004 berbanding tahun 1941. Di Argentina juga menunjukkan senario yang sama yang mana glasier Upsala pada tahun 1928 hampir lenyap pada tahun 2004.
Sebab itu banyak negara kini mula mencari sumber tenaga alternatif yang mesra alam. Ini pun ada kekangan kerana kita terpaksa mengimportnya menyebabkan kita bergantung kepada orang lain. Selain itu, ia meningkatkan pergantungan kepada politik antarabangsa. Apabila berlaku krisis, maka kita akan mengalami kesannya. Contohnya, pergantungan kepada minyak dari Iraq terjejas apabila negara itu dikenakan sekatan ekonomi.
Jadi, sumber tenaga alternatif yang paling popular masa kini ialah tenaga suria.
Ada pihak yang meragui keupayaan tenaga suria selain beranggapan kosnya lebih mahal. Benarkah tanggapan begini?
Sumber tenaga ada empat iaitu suria, biojisim, air pasang surut dan nuklear. Sebenarnya, masyarakat kita sudah pun menggunakan tenaga suria tetapi ia lebih kepada penggunaan air panas untuk mandi dan juga udara panas untuk mengeringkan sesuatu seperti tembakau, koko dan sebagainya.
Jadi, apa yang perlu dipergiatkan kini ialah memperluaskan penggunaan teknologi tenaga suria ini agar ia mencapai tahap kos efektif. Kita sudah ada teknologi untuk menukar tenaga matahari kepada haba.
Negara maju seperti Jepun, telah lama menggunakan tenaga suria kerana menyedari bahawa sumber tenaga sedia ada adalah terhad. Malah, kerajaan Jepun memberi insentif kepada pihak yang melabur untuk menghasilkan tenaga suria yang boleh dimanfaatkan untuk kegunaan umum.
Kos memang satu masalah tetapi ia tidak sepatutnya menghalang kita membangunkan teknologi suria. Analoginya mudah, umum mengetahui kereta mewah mencecah harga RM500,000 sebuah tetapi masih ramai rakyat Malaysia yang mampu membelinya.
Kos tidak boleh dijadikan penghalang kita membangunkan teknologi ini. Malaysia mempunyai sumber alam yang banyak. Apa yang perlu dibuat ialah duduk berbincang mencari jalan bagaimana memajukan sistem tenaga solar.
Apakah antara teknologi solar yang sedia ada di Malaysia?
Selama ini kebanyakan proses pengeringan tanaman seperti padi dan tembakau dibuat menggunakan diesel. Bagi produk seperti ikan bilis, lada dan pisang, ia menggunakan sistem pengeringan terbuka bersimen.
Kita mempunyai beberapa teknologi tenaga solar yang boleh dimanfaatkan untuk mengambil tempat kaedah-kaedah pengeringan hasil pertanian yang sedia ada. Sebelum ini, kita menggunakan Pengumpul Plat Datar di bumbung rumah atau bangunan bagi mendapakan tenaga solar.
Kini, kita mempunyai Sistem Pengeringan Suria Olakan Tabii yang intensif buruh. Selain itu, UKM juga telah membangunkan Sistem Pengeringan Suria dengan Pengumpul Lekuk-V dan Sistem Pengeringan Suria Nyah Lembapan. Sistem ini mengurangkan kelembapan sebanyak 80 peratus dan ia juga boleh digunakan untuk mengeringkan produk herba.
Kita juga membangunkan Sistem Pengeringan Fotovoltan (PVT) yang menukarkan cahaya matahari untuk menghasilkan elektrik. Ia bagi membekalkan haba sama ada air atau udara panas. Sistem ini boleh digunapakai secara meluas di Malaysia hanya dengan sedikit pengubahsuaian.
Teknologi-teknologi ini mempunyai peratus kecekapan yang baik. Apa yang lebih penting, ia adalah sumber tenaga percuma. Sistem PVT ini juga boleh digunakan di bangunan termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Kajian mendapati ia boleh menjimatkan kira-kira 25 peratus elektrik dari segi penggunaan lampu.
Sambutan terhadap penggunaan sumber tenaga alternatif di negara kita masih dingin walaupun kita sudah membangunkan banyak teknologi tempatan. Apa sebabnya?
Kita perlu mewujudkan kesungguhan dari segi politik yang menggalakkan masyarakat menggunakan sumber tenaga alternatif. Ini perlu disertakan dengan mekanisme untuk membeli alat yang diperlukan bagi tujuan tersebut.
Kajian mendapati 25 peratus perbelanjaan pengusaha hotel adalah untuk penggunaan air panas. Jumlah ini mampu dikurangkan dengan penggunaan tenaga solar jika pihak terbabit mengambil serius mengenainya.
Selain itu, program mendidik masyarakat untuk menukar minda mereka kepada penggunaan sumber tenaga alternatif yang mesra alam perlu diperkukuhkan. Di negara-negara maju seminar dan bengkel adalah aktiviti harian dan segala hasil atau resolusinya diterima pakai untuk kesejahteraan manusia.
Ini bertepatan dengan suruhan Allah agar manusia ini mendapatkan nasihat daripada golongan yang berilmu sebagaimana firman-Nya: Adakah sama orang yang berilmu pengetahuan dengan orang yang tidak berilmu? (Tentu tidak). Hanya yang menerima peringatan ialah orang yang berakal. (Az-Zumar: 9)
Ada yang beranggapan sains tidak harus dikaitkan dengan agama. Apa pandangan Prof.?
Pandangan sedemikian tidak tepat. Sains adalah kemampuan untuk mencerap tabie alam atau ilmu yang membolehkan seseorang memahami tabii alam secara objektif, sistematik dan rasional dengan kaedah tertentu yang diperantikan untuk mewujudkan penumpuan pengetahuan yang boleh dipercayai.
Sejarah turut membuktikan bahawa saintis terkenal zaman lampau adalah terdiri daripada orang Islam seperti Al-Khawarizmi, Ibnu Sina dan juga Ibnu Rushd. Sains tanpa agama dikhuatiri mendorong kepada terbina manusia yang hilang peradaban dan akhlak. Ini kerana sains semata, tidak pernah tanya tenang nilai-nilai kemanusiaan.
Dalam Islam, sains adalah sebahagian daripada cabang ilmu fardu kifayah yang perlu dipelajari.