Hiburan, hiburan, hiburan?
Berhibur tiada salahnya,
kerna hiburan itu indah,
hanya pabila salah memilihnya,
membuat kita jadi bersalah
Lirik nasyid dendangan kumpulan Raihan ini mampu membuatkan kita berfikir sejenak tentang hakikat hiburan yang sebenarnya daripada sudut pandangan Islam. Benarkah berhibur itu tiada salahnya? Sejauh manakah batas-batas yang dibenarkan dalam Islam?Adakah masyarakat Islam pada hari ini, khususnya golongan remaja memahami dengan sebenarnya hakikat hiburan menurut Islam?
Islam merupakan agama yang cukup sempurna daripada semua aspek kehidupan. Malah, hiburan juga merupakan satu aspek yang terangkum dalam kesempurnaan Islam. Secara fitrahnya,manusia memang sukakan hiburan. Tetapi pada hari ini, masyarakat kita disempitkan dengan definisi hiburan yang sangat terbatas. Apabila bercakap soal hiburan, apa yang bermain di minda ialah hiburan masa kini seperti nyanyian, konsert, lakonan dan aktiviti-aktiviti yang membawa kepada keseronokan sahaja.Adakah konsep hiburan terbatas setakat itu sahaja? Adakah kita tiada pilihan lagi untuk berhibur? Sudah tentu jawapannya tidak.
Konsep hiburan yang sebenar dalam Islam ialah hiburan yang dapat mendidik hati dan jiwa insan serta dapat mendekatkan hati-hati yang lalai kepada Allah. Masih ingatkah kita kepada adik Nuramirah Azhari? Adik Nuramirah merupakan naib johan perujian menghafaz Al-Quran kategori satu hingga lima juzuk peringkat negeri Perak. Apa yang istimewanya ialah beliau telah berjaya mengalahkan sepuluh peserta lain yang jauh lebih dewasa daripadanya. Dalam usia semuda 10 tahun, beliau mampu untuk menghafal Al-Quran sebanyak 30 juzuk.
Antara didikan yang diterapkan oleh ibu bapa Nuramirah untuk memastikan kecemerlangan anak-anak mereka dalam hafazan Al-Quran ialah dengan menghadkan masa untuk menonton televisyen. Malah, tiada satu televisyen pun yang terdapat di dalam rumah mereka. Bapanya, Azhari Abu Hassan merupakan seorang pelukis pelan.Menurut Azhari, tujuan menonton televisyen hanyalah untuk mendapatkan hiburan. Selepas beliau menghayati dan mendalami Al-Quran, beliau sekeluarga berpendapat bahawa Al-Quran merupakan hiburan yang menyenangkan , malah lebih menyenangkan daripada hiburan-hiburan yang lain. Jadi tidak timbul isu beliau mengabaikan hiburan untuk dirinya dan keluarganya.
Adakah kita sudah lupa pada kitab yang satu ini? Mengapa kita tidak pernah berfikir bahawa Al-Quran ini merupakan sumber hiburan yang paling mendamaikan jiwa? Malah inilah hiburan yang paling bermanfaat untuk dipilih.Lihatlah dunia sekeliling kita pada hari ini. Segalanya penuh dengan hiburan.Hiburan, hiburan dan hiburan. Adakah hiburan yang ada pada hari ini masih tidak cukup lagi sehingga kita terlalu ghairah mencari hiburan yang melalaikan dan membawa kepada kemaksiatan? Tepuk dada tanyalah iman.
Mari kita imbas semula peristiwa-peristiwa bersejarah yang berlaku dalam negara kita yang tercinta ini, Malaysia. Kita mulakan tahun baru kita dengan sambutan yang begitu meriah. Apakah yang diingiini oleh muda mudi untuk mengisi sambutan tahun baru? Tidak lain dan tidak bukan ialah perkara-perkara yang boleh menghiburkan hati mereka. Jika mereka fikir apa yang boleh menghiburkan hati mereka ialah konsert, maka mereka akan berseronok dengan konsert. Jika mereka fikir lumba motor haram itu menghiburkan, maka itulah pilihan mereka. Jika mereka fikir disko dan pusat-puat hiburan itu mampu memuaskan hati mereka,maka itulah matlamat mereka.
Tidak cukup dengan itu, kita ditambahkan lagi dengan pilihan-pilihan yang mampu menggegarkan iman. Akademi Fantasia, Mentor, Bintang RTM, Malaysian Idol, One In a Million dan banyak lagi program yang dihidangkan untuk memenuhi kehendak hiburan masyarakat yang sememangnya tidak pernah puas. Kemunculan penghibur ala-ala pendakwah seperti Mawi mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada masyarakat. Inilah dia penghibur kita. Berhibur, berhibur juga tapi akhirat jangan lupa. Apa sebenarnya tafsiran daripada suasana ini? Adakah masyarakat ingin menyampaikan bahawa dalam kita sibuk mengejar akhirat, aspek hiburan duniawi juga harus diutamakan?
Apa yang lebih menyayat hati ialah apabila Mawi memutuskan pertunangannya dengan Nur Diana atau lebih dikenali sebagai Ina. Ina meluahkan kesedihan hatinya melalui sebuah buku yang ditulis oleh seorang penulis tanah air. Satu program khas wawancara bersama Ina telah dianjurkan oleh TV 1 manakala wawancara bersama Mawi pula dianjurkan oleh ASTRO. Tetapi yang mengkusutkan keadaan ialah siaran langsung persandingan pelakon nombor satu negara, Siti Nurhaliza dengan pasangannya yang dicintai sepenuh hati, Datuk Khalid Mohamad Jiwa ditayangkan pada waktu yang sama dengan siaran wawancara Ina-Mawi. Masyarakat mula dilanda dilema, ‘nak tengok mana satu ni? Dua-dua pun best. Isy, sayangnya !’. Mungkin inilah yang bermain-main di dalam fikiran masyarakat kita ketika itu.
Fenomena sukakan hiburan ini turut menjadi rumit apabila seorang ahli parlimen mengemukakan isu petembungan antara dua program besar itu di parlimen. Mengapa dua program itu boleh bertembung? Masyarakat tidak dapat membuat pilihan sama ada untuk menyaksikan siaran langsung persandingan Siti Nurhaliza atau mengikuti wawancara penuh perasaan bersama Ina. Persoalan ini terpaksa dijawab sendiri oleh Menteri Penerangan.
Sebelum itu, tarikh keramat pernikahan Siti Nurhaliza sentiasa dinanti-natikan oleh peminatnya. Tarikh 21 Ogos 2006 merupakan satu tarikh yang bersejarah kerana pada tarikh tersebut, penyanyi pujaan ramai yang terkenal ini memulakan detik-detik baru dalam hidupnya sebagai seorang isteri.Sungguh mendebarkan. Tetapi berapa ramaikah yang menyedari, tarikh 21 Ogos datang lagi untuk kesekian kalinya dengan imbauan peristiwa yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh umat Islam. Pada tarikh 21Ogos 1969, sebahagian ruang utama Masjidil Aqsa dibakar oleh seorang kristian berfahaman zionis bernama Dennis Michael.
Sambutan terbaru ialah sambutan kemerdekaan negara kita yang ke-49. Sudah menjadi lumrah masyarakat untuk menyambut kemerdekaan pada jam 12 malam pada tarikh 31 Ogos setiap tahun. Kita mengakui bahawa kita sudah merdeka, kita sudah bebas daripada penjajahan. Tetapi apa rasionalnya kita menyambut kemerdekaan tepat jam 12 malam setiap tahun? Adakah kita sudah terlupa dengan tradisi barat yang menyambut acara-acara dan peristiwa-peristiwa penting tepat jam 12 malam? Ini adalah tradisi barat. Perdana Menteri kita yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Al-Hajj mengisytiharkan kemerdekaan negara bukan pada jam 12 malam pada tarikh 31 Ogos 1957, tetapi beliau mengisytiharkannya pada siang hari 31 Ogos 1957.
Sambutan di ambang kemerdekaan lebih banyak menyumbang kepada implikasi sosial dan moral. Ramai muda-mudi yang meraikan detik 12 malam dengan keseronokan tanpa dapat memikirkan nilai-nilai patriotik yang patut disemai. Sambutan kemerdekaan merupakan satu tradisi tahunan negara. Tahun demi tahun berlalu tetapi apakah sebenarnya yang kita inginkan daripada sambutan setiap tahun itu?Sebagai seorang muslim, apa yang penting untuk kita pelajari daripada setiap sambutan ialah bagaimana untuk mengekalkan kemerdekaan negara dan mengukuhkan perpaduan dalam negara mengikut contoh-contoh daripada sirah Rasulullah dan juga lunas-lunas Islam. Kita mahukan negara Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam kembali menghayati ajaran agama Islam dan mengaplikasikan nilai-nilai murni Islam dalam kehidupan.
Jadi, bukalah mata seluas-luasnya, bukalah minda seluas-luasnya. Adakah kita masih inginkan hiburan yang sia-sia lagi sedangkan isu murtad semakin meruncing? Adakah hiburan hati kita yang sifatnya tidak pernah puas harus dipatuhi, sedangkan saudara-saudara seislam kita di Palestin, Lubnan, Iraq, Kashmir dan tempat-tempat lain sedang bergelut mempertaruhkan nyawa mereka untuk mempertahankan kesucian agama Islam? Adakah kita mampu lagi untuk duduk merehatkan diri sambil berhibur sedangkan penyakit sosial dan moral dalam masyarakat semakin membimbangkan? Sekali lagi, tepuk dada tanyalah iman.
Semoga Allah memberikan lebih banyak ruang dan peluang untuk kita mengkaji dan seterusnya menyedarkan masyarakat tentang implikasi budaya yang sukakan hiburan atau lebih dikenali sebagai budaya hedonisme. Masa hadapan negara bergantung kepada kepimpinan dan ketrampilan muda-mudi masa kini. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jika harapan dan tiang yang kita ada pada hari ini semakin pupus akhlak dan tingkah lakunya, masyarakat kita berada berada dalam situasai yang amat membimbangkan. Hayatilah konsep berhibur dengan cara yang realistik dan nyata. Biarlah konsep hiburan itu selari dengan identiti kita sebagai seorang muslim dan juga seorang mukmin.. Serahkan pada kebijaksanaan akal fikiran yang waras untuk menilainya. Berhibur tiada salahnya, kerna hiburan itu indah,hanya pabila salah memilihnya, membuat kita jadi bersalah. Fikirkannya!!!