Friday, December 07, 2007

tanda kasih sayang Allah

Rasanya masih tidak terlambat lagi untuk saya ucapkan selamat pulang ke bumi IIUM Kuantan kepada sahabat-sahabat, walaupun sudah hampir seminggu semester baru berlalu. Selamat meneruskan perjuangan, selamat menuntut ilmu, selamat bekerja, selamat bermujahadah dan semoga segala-galanya selamat dan diberkati Allah. Buat sahabat saya, Sumayyah dan juga senior saya, Zulfadhli, selamat menempuh alam baru dengan tanggungjawab yang baru.

Masa lalu ialah sesuatu yang amat jauh dengan kita. Inilah isi tazkirah di kelas pada hari ini yang amat memberi kesan. Masa yang telah berlalu sangat jauh dengan kita, sangat jauh untuk dikejar dan semestinya tidak mungkin dicapai. Semester satu yang lepas, walaupun baru sahaja berlalu, tetapi tetap jauh untuk dicapai semula. Apa yang tinggal ialah untuk menilai semula segala kelebihan dan kekurangan yang lalu supaya kita dapat menghargai masa yang ada sekarang dan juga masa yang akan datang. Saya berani katakan inilah semester yang benar-benar menguji saya, the worst ever in my life. Jatuhnya semangat saya seumpama runtuhnya WTC, terus ranap ke bumi dalam masa yang singkat. Sahabat saya pula mengumpamakan kejatuhannya seperti lepernya seekor cicak yang dilanggar oleh bulldozer, jatuh dan terus rebah. Inilah yang dinamakan ujian, menunjukkan Allah sayangkan hambaNya.

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ (2) وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ (3

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan “Kami telah beriman” dan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar pasti mengetahui orang-orang yang dusta.

Kejatuhan ini perlu dinilai dari sudut yang positif. Kejayaan dicipta oleh orang biasa yang berusaha secara luar biasa. Dalam kes tertentu, kejayaan dicipta oleh orang luar biasa yang berusaha secara biasa. Penyumbang terbesar kepada sebuah kejayaan ialah sikap, di samping faktor-faktor lain yang membantu. Seorang yang berjalan kaki tidak boleh bersiap untuk ke kelas sama waktu dengan orang yang menaiki kereta ataupun motor. Jika dilakukan juga, hamba Allah yang berjalan kaki ini mungkin akan lambat sampai ke kelas daripada waktunya, dan individu yang berkenderaan mungkin akan sampai ke kelas lebih awal atau tepat pada waktunya. Jadi, si pejalan kaki tidak boleh menggunakan alasannya yang tidak mempunyai kenderaan sebagai sebab mengapa dia lambat. Penyebab utama ialah sikapnya, tanpa menyedari keadaan dirinya. Jadi, apa yang perlu saya buat ialah betulkan sikap …tingkatkan mujahadah, tambahkan focus, giatkan usaha dan apa-apa tindakan yang perlu untuk menghancurkan segala sikap-sikap yang negative.

Jika seorang penuntut itu mempunyai minat yang sangat mendalam dalam aktiviti sukan, tidak salah untuk dia bergiat aktif dalam sukan, asalkan tidak mengurangi kesungguhan dan fokusnya dalam pelajaran. Jika seseorang itu aktif dalam persatuan, tidak salah untuk terlibat, asalkan saja tumpuan untuk pelajaran tidak terjejas. Seseorang yang aktif dalam kerja-kerja dakwah pun begitu juga. Bekerjalah untuk Islam dengan bersungguh-sungguh, dan dalam masa yang sama belajarlah bersungguh-sungguh juga. Ketempangan berlaku jika salah satu elemen diabaikan. Jika prestasi pelajaran menurun, perasatuan, society dan sebagainya bukanlah penyumbang utama. Punca utamanya ialah diri sendiri yang tidak bersungguh-sungguh. Jadi saya tidak bersetuju jika dikaitkan penurunan prestasi ini dengan aktiviti-aktiviti lain.
Dan untuk itu, study tidak boleh menjadi alasan utama untuk menolak sesuatu tanggungjawab. Saya faham sahabat-sahabat turut mengalami nasib yang sama seperti saya. Saya kembalikan semula ayat yang telah diberikan oleh sahabat kepada saya :


“Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasulnya serta orang-orang mu’min akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan"

Jadi, apapun yang berlaku, teruskan bekerja, Insya Allah, Allah sentiasa bersama kita. Dan saya pulangkan juga kata-kata ini kepada sahabat-sahabt saya, yang juga telah diberikan oleh seorang sahabat. Kadang-kadang kita diberi sesuatu tanggungjawab itu bukanlah kerana kita layak, tetapi kerana Allah hendak beri sesuatu kepada kita. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada sahabat-sahabat saya untuk terus maju dan cemerlang. Pejuang Islam tak akan pernah berputus asa. Umat Islam mesti cemerlang.

Buat si cicak yang leper milik seorang sahabat, semoga cicak itu akan terus berusaha untuk meneruskan perjuangan hidupnya. Sekali cicak dilanggar, sepuluh kali semangat cicak membara untuk terus hidup dengan lebih cemerlang, dan seterusnya menolong kawan-kawannya supaya tidak dilanggar oleh bulldozer yang sama. Chaiyok2 semua…

0 Comments:

Post a Comment

<< Home