Thursday, August 30, 2007

salam kemerdekaan

Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Merdeka ! Merdeka !Tetaplah merdeka
Ia pasti menjadi sejarah
Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Hari yang muliaHari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka
Mari kita seluruh warga negara
Ramai-ramai menyambut hari merdeka
Merdeka !
Tiga satu bulan lapan lima puluh tujuh
Hari mulia negaraku merdeka


31 haribulan Ogos…hari yang pasti diingati oleh setiap warganegara Malaysia yang cintakan negaranya, hari yang mana negara kita Malaysia bebas daripada cengkaman penjajah British. Merdeka, merdeka tetaplah merdeka, ia pasti menjadi sejarah…Sudah pasti tarikh 31 Ogos akan sentiasa menjadi agenda utama dalam lipatan sejarah Malaysia.

Persoalannya, bagaimana menyambut hari bersejerah negara dengan jiwa yang merdeka? Adakah anak-anak muda yang dilahirkan selepas zaman merdeka faham dan benar-benar menghayati makna kemerdekaan? Bagi generasi yang pernah hidup dalam zaman sebelum kemerdekaan, pengalaman dan perjuangan menentang penjajah menjadikan detik kemerdekaan 31 Ogos itu sesuatu yang sangat berharga, kerana mereka mengerti betapa susahnya untuk mendapatkan kemerdekaan.

Tetapi bagi generasi baru yang lahir selepas zaman merdeka, khususnya generasi muda hari ini, bagaimanakah kita mentafsirkan makna kemerdekaan? Temasya menyambut kemerdekaan yang dipenuhi dengan acara hiburan seolah-olah sudah menjadi tradisi masyarakat kita sejak bertahun-tahun lamanya. Adakah dengan mewarisi sambutan kemerdekaan itu dapat menunjukkan semangat patriotik dan cintakan negara?Adakah dengan sorakan dan laungan ‘merdeka’ ataupun nyanyian lagu-lagu patriotik, ataupun kibaran bendera Malaysia pada kenderaan dan bangunan-bangunan itu sudah cukup menandakan bahawa kita telah benar-benar merdeka?

Semasa menaiki bas untuk pulang ke Kluang dari Kuantan, saya sempat mendengar pendapat beberapa orang pendengar sebuah stesen radio tentang makna kemerdekaan daripada perspektif mereka. Ramai yang faham bahawa kemerdekaan itu ialah bebasnya kita daripada dijajah oleh pihak British dan ukuran pengisisan kemerdekaan itu dinilai daripada aspek pembangunan dan kemajuan infrastruktur serta kemewahan yang kita kecapi pada hari ini.

Apakah maksud kemerdekaan yang sebenarnya daripada kaca mata Islam? Ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum, seorang sahabat Rasulullah bernama Rub'i bin A'mir telah mengungkapkan kata-kat berikut :
Maksudnya: Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami keluarkan (merdekakan) manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

Kemerdekaan yang hakiki ialah apabila kita mampu kembali kepada diri kita sendiri iaitu apabila kita mampu mengungkapkan acuan Islam ke dalam segenap lapangan kehidupan masyarakat, sama ada dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan ataupun sosial. Merdeka bagi seorang Muslim bukanlah sekadar bebas di dunia, tetapi maksud kemerdekaan yang sebenar- benarnya hanyalah apabila seorang Muslim berjaya melepasi titian “siratul mustaqim” untuk beriringan langkah memasuki syurga Ilahi.

Kita telah bebas daripada cengkaman penjajah, tetapi dari sudut identiti dan jati diri Muslim, adakah kita telah benar-benar bebas tanpa dipengaruhi ideologi, fahaman, pengaruh dan budaya luar? Masyarakat pada hari ini mengukur pembangunan menurut perspektif barat yang mana pembangunan dan kemajuan sesebuah negara dapat dicapai berdasarkan kemampuan negara untuk menyediakan infrastruktur, prasarana dan bangunan-bangunan yang mantap, canggih, maju dan terkini, tanpa memberikan tumpuan yang serius kepada kepentingan pembangunan insan daripada sudut pemikiran dan akhlak. Hasilnya seperti yang kita lihat pada hari ini, masalah sosial yang semakin meruncing dan keruntuhan akhlak yang semakin melampau. Masyarakat kita pada hari ini mengalami kecederaan yang amat parah, masyarakat kita sebenarnya sakit, masyarakat kita tidak sihat sepenuhnya.Adakah ini yang kita mahukan daripada sebuah kemerdekaan? Jika pengisisan kemerdekaan tidak dihayati sepenuhnya, penyakit masyarakat akan menjadi semakin kronik dan menjadi barah yang mungkin mampu membunuh.

Elemen pembangunan insan berkait rapat dengan pembangunan negara. Dalam majlis konvokesyen ketiga Kolej Islam Darul Ridzuan, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah bahawa pembangunan insan akan lebih sempurna jika sentuhan keinsanan turut terbina di samping berkeupayaan untuk menguasai ilmu teknologi. Teknologi adalah alat, bukan matlamat. Titah baginda, asas falsafah pendidikan yang murni perlu untuk membina sahsiah, minda dan roh insan yang tidak harus diketepikan malah perlu ditekankan. Titah baginda lagi, oleh kerana manusia adalah objek utama dalam proses pendidikan, dimensi Islam berlandaskan ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasul perlu untuk untuk memperlengkapkan proses mendidik, melatih akal, jasmani dan roh manusia untuk membina insan yang bertakwa. Seperti mana yang dilabelkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, maka syariat Islam perlu dan wajib untuk ditegakkan dalam usaha menjamin kemajuan yang seimbang dari sudut pembangunan fizikal dan pembangunan rohani.

Saya amat bangga menjadi warganegara Malaysia. Seperti mana gahnya bendera Malaysia yang dilekatkan di kenderaan berkibar di jalanan semasa angin kuat bertiup dalam hujan yang lebat, begitulah rasa bangga dan megahnya saya terhadap negara Malaysia ini. Semoga negara yang saya cintai ini akan terus membangun mengikut acuan Islam seperti mana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah dalam membina negara Islam pertama Madinah. Dengan tema hari kemerdekaan ke-50 “Malaysiaku Gemilang”, saya berharap semoga negara ini akan terus gemilang, cemerlang dan terbilang dalam semua aspek kehidupan, di bawah pimpinan pemimpin yang beriman, bersama-sama dengan rakyat yang menyokongnya, di dalam rahmat dan keredhaan Allah s.w.t, Insya ALLAH.Selamat hari merdeka, di mana bumi dipijak, di situ PASTI Islam ditegak.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home