Thursday, October 30, 2008

Pesanan kepada bakal ahli majlis perwakilan pelajar

BAHANG pilihan raya kampus mungkin masih belum terasa lagi di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), baik di kampus UIAM Gombak, apatah lagi kampus UIAM Kuantan.

Fenomena yang sama mungkin juga berlaku di kebanyakan kampus IPTA yang lain. Mahasiswa tertanya-tanya bila agaknya pilihan raya kampus akan mengambil tempatnya.
Pilihan raya kampus merupakan salah satu agenda yang penting dalam memastikan perjalanan sistem demokrasi yang adil di universiti.

Semestinya mahasiswa yang menawarkan diri untuk menjadi calon dalam pilihan raya kampus mempunyai alasan tersendiri mengapa mereka ingin bertanding.

Pelabelan calon sebagai proaspirasi ataupun promahasiswa menjadikan suasana pilihan raya kampus lebih menarik dan matang. Sama ada calon sendiri yang melabelkan diri mereka ataupun akhbar yang memanipulasi pelabelan calon ini, saya kira ini bukanlah masalah yang besar.

Apa yang penting, pimpinan mahasiswa ataupun pimpinan pelajar perlu sedar bahawa mereka dipilih untuk mewakili kepentingan mahasiswa secara umum.

Tidak kira apa pun latar belakang calon dan siapa pun yang diwakili, kepentingan umum perlu diletakkan di hadapan berbanding kepentingan peribadi. Pendekatan dan pelaksanaan yang dilakukan perlulah bersifat menyeluruh, tanpa bersifat pilih bulu.

Majlis perwakilan pelajar sebagai organisasi utama dalam menyampaikan suara mahasiswa perlu bijak dalam melaksanakan misi ini.

Kepetahan berkata-kata dan berbicara dalam menyampaikan idea dan pandangan merupakan satu kredit. Tetapi dengan hanya bersandarkan kepada kata-kata tanpa pelaksanaan, saya berpendapat pemimpin seperti ini tidak harus dihormati.

Saya menghormati perbezaan idea dan pemikiran setiap individu. Dalam berorganisasi, perbezaan idea dan pemikiran merupakan perkara lumrah. Asalkan kita boleh lapang dada dengan perbezaaan dan bekerja dengan berasaskan persamaan, pasti gerak kerja yang dirancang dapat dilaksanakan dengan efektif.

Seorang pemimpin pelajar yang baik pasti dapat menghargai perbezaan dan persamaan dalam gerak kerja yang dilakukan.

Cukuplah keikhlasan yang dijadikan tunjang dalam menjalankan amanah sebagai ahli majlis perwakilan pelajar. Sama ada terdapat campur tangan daripada pihak luar dalam menentukan kepimpinan pelajar, saya serahkan kepada seluruh mahasiswa untuk memikirkannya dengan bijak dan rasional. Kualiti diri seorang pemimpin mengatasi segala-galanya.


BEKAS AHLI MPP UIAM
Kuantan