Sunday, December 23, 2007

a step forward in my life

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga baginda dan para sahabat baginda...

Salam aidiladha buat semua sahabat...Pada masa ini, ketika semua orang sibuk membincangkan tentang perpaduan antara kaum di Malaysia, gimmick sms ucapan aidiladha memang mampu membuatkan saya terkejut seketika. Saya baru saja pulang daripada menghadiri kursus BTN pada minggu lepas. Isu perpaduan antara kaum merupakan isu yang banyak dibincangkan dalam slot LDK. Kepada semua orang Melayu, siap sedia dengan parang, kapak dan pisau dari sekarang. Peristiwa berdarah akan berlaku 20hb. Sebabnya...kita akan meraikan ibadat korban. Siapalah yang begitu kreatif memikirkan idea seperti ini. Pandai memanipulasi keadaan semasa.Bayangkanlah siangnya saya baru saja berdiskusi tentang peristiwa 13 Mei 1969 dalam slot LDK, apa persediaan yang dapat dilakukan jika peristiwa itu berulang dan lain-lain lagi, dan malamnya pula saya menerima sms gimmick aidiladha. Terima kasih kepada sesiapa yang menghantar pelbagai versi sms gimmick kepada saya. Memang kreatif (“,)

Seronok juga sebenarnya dapar bersama-sama sahabat yang lain menghadiri kursus BTN. Walaupun pada mulanya saya memang tidak berminat langsung untuk mengikuti kursus ini, tetapi akhirnya saya yang bersemangat untuk pergi. Terasa agak lapang hati apabila classmate saya, Hafizi, akhirnya turut sama-sama pergi. Sekurang-kurangnya tidaklah berasa berat hati kerana meninggalkan praktikal selama dua hari, walaupun supervisor clinical saya memberi kebenaran untuk pergi. Apapun, saya telah menggantikan satu hari yang saya tidak dapat datang. Tinggal hutang sehari lagi.

Antara objektif kurusus ini ialah untuk meningkatkan semangat patriotik dan cintakan negara di kalangan peserta. Terasa kesan serbuk pencuci dan cecair peluntur akibat dibasuh dan diclorox. Cuma tak terasa ditembak dari jarak dekat. Saya memang cintakan negara Malaysia yang merdeka ini. Matlamat kerajaan untuk melahirkan modal insan kelas pertama yang cemerlang, gemilang dan terbilang memang bagus. Pembinaan modal insan yang berjaya ialah yang berteraskan tarbiyyah Islamiah serta bersumberkan Al-Quran dan sunnah Rasulullah serta sirah para sahabat Konsep tarbiyyah yang dibawa oleh para nabi dan rasul, dan disambung oleh para sahabat, tabi’in dan orang-orang soleh ini mampu untuk mengangkasa minda mahasiswa pada hari ini ke mercu kelas dunia. Semoga kelahiran modal insan yang berminda kelasa pertama mampu memartabatkan agama Islam yang kita cintai ini dengan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Agak menariknya, kami peserta kursus dari UIA dibahagikan kepada 3 tempat kursus, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak. Hanya UIA sahaja, dan peserta dari IPTA lain tidak dibahagikan dan ditempatkan di kem yang sama. Bila saya bertanyakan hal ini kepada fasilitator kumpulan saya, ini semua hanyalah satu kebetulan, katanya. Satu kelebihan buat peserta UIA kerana berpeluang untuk meluaskan network dan merapatkan silaturrahim dengan sahabat MPP yang lain serta bertukar-tukar idea dalam ruang lingkup yang lebih besar. Terima kasih KPT.

Banyak perkara yang saya dapat daripada kursus ini. Perkara yang utama buat diri saya ialah pentingnya kekuatan fizikal. Tarbiyyah jasadiyyah yang tidak mendapat tempat utama dalam jadual seharian saya, dan diri saya yang jahil dalam ilmu mempertahankan diri. Saranan kementerian kesihatan, bersenam 3 kali seminggu, 20 minit untuk sekali seisi senaman. Inilah percaturan yang ideal untuk tubuh yang sihat. Menurut Prof. Dr. Mohaya dalam seminar wanita solehah di IIUM Kuantan pada awal tahun yang lalu, terlalu banyak bersenam (contohnya tiap-tiap hari) bukanlah idea yang efektif dalam kehidupan pelajar yang aktif. Waktu petang selepas asar , selain bersenam, boleh digunakan untuk membuat meeting dan aktiviti-aktiviti persatuan. Jadi, tidaklah terganggu waktu puncak untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran pada malam hari.

Mengapa kekuatan fizikal ini penting?Semestinya kerana akal yang sejahtera itu terletak pada tubuh badan yang sihat. Andai ditakdirkan berlaku rusuhan ataupun peperangan (na’uzubillahi min zalik, andaikata), apa yang kita ada untuk mempertahankan diri sekurang-kurangnya? Jika tidak dapat mempertahankan diri sekalipun, sejauh mana mantapnya stamina untuk lari menyelamatkan diri? Jika tidak benar-benar fit, pancit juga. Dalam keadaan ini, fight and flight situation, walaupun nerve impulse akan stimulate adrenal gland untuk untuk merembeskan adrenaline, yang akhirnya akan meningkatkan tenaga untuk menolong badan dalam melawan keadaan yang tertekan (fight for the stressful situation), jika stamina yang kita ada tidak begitu mantap hasil daripada kurangnya latihan kecergasan, memang kita tidak akan dapat pergi jauh. Jika dapat mempertahankan diri sekurang-kurangnya, tidaklah dengan mudahnya ditendang oleh orang yang mempunyai tali pinggang hitam dalam peperangan, contohnya.

Satu lagi aspek perbincangan yang saya rasa penting. Bagaimana untuk mngatur kerjaya masa hadapan. Bidang perniagaan merupakan bidang yang harus dikuasai oleh Muslim khususnya. Bagi saya, kita perlu jadi kaya untuk menolong umat Islam yang memerlukan, umat Islam yang kekurangan, anak-anak yatim yang hidup dalam kemiskinan. Saya kagum dengan usaha seorang pensyarah saya yang membantu anak-anak orang Melayu yang kesempitan wang untuk meneruskan pelajaran hingga berjaya. Pensyarah saya ini mempunyai ramai anak angkat untuk dibantu dari segi kewangan. Beliau menjalankan aktiviti perniagaan, selain daripada menjadi seorang pensyarah. dalam usaha membantu anak-anak ini. Lihatlah, 9/10 daripada rezeki itu datangnya daripada perniagaan. Perniagaan yang menguntungkan, antaranya ialah sector hartanah. Seorang rakan sekelas saya ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan selepas tamat pengajian untuk mengumpulkan wang, dan bercadang untuk menyertai MERCY secara sukarela untuk membantu dengan menggunakan wang hasil simpanannya. Sahabat baik saya, juga sekelas dengan saya, bercita-cita untuk membuka tadika Islam supaya dapat memberikan didikan dan tarbiyyah kepada kanak-kanak sejak dari kecil lagi. Inilah sebenarnya yang harus dilahirkan, business minded person.

Apabila terlibat dengan perniagaan, sudah pasti keuntungan yang menjadi sasaran utama. Konteks keuntungan sebenarnya bukanlah ukuran sebanyak mana hasil yang diperolehi daripada perniagaan itu semata-mata, malah ia juga diukur melalui sebanyak mana orang lain mendapat keuntungan dengan perniagaan yang dijalankan.. Satu contoh yang paling dekat dengan saya sebagai seorang perempuan ialah tudung. Memang banyak kain tudung yang dijual di pasaran sekarang, pelbagai jenis, corak dan fesyen. Apa yang saya rasa tidak patut ialah keadaan tudung yang dijual. Terlalu nipis, tidak menutup aurat walaupun memakai\tudung sehinggakan menampakkan bayang-bayang leher. Tudung yang besar pun sekarang ni banyak yang nipis. Alhamdulillah, sahabat-sahabat saya mengambil inisiatif dengan memakai kain tudung kecil yang lain di dalam sebagai pelindung kepada kain tudung yang nipis itu. Jika penghasilan kain tudung itu memang bermotifkan untuk menutup aurat, elemen-elemen ini harus diambil kira supaya tidaklah wanita Islam memakai tudung tetapi tidak menutup aurat, ataupun terpaksa membeli kain tudung tambahan untuk menutup aurat. Tidaklah ianya bermotifkan keuntungan semata-mata.

Insya Allah, semoga hari ini lebih baik daripada semalam, dan hari esok pastinya lebih baik daripada hari ini. Semakin hari bertambah, semakin banyak benda baru yang saya belajar dalam suatu kembara perjalanan di dunia yang dinamakan kehidupan. Perjalanan ini akan tiba ke penghujungnya suatu hari nanti... untuk menuju kehidupan lain yang kekal. Allah lebih mengetahui bila masanya...

”Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Rabbmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya.¨ (QS. 89:27-28)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home